Kampung Morten. Kampung tradisional Melayu yang masih gagah di tengah Bandar.

Kalau korang pernah naik river cruise menyelusuri sungai Melaka mesti korang perasan satu perkampungan Melayu yang dipanggil kampung Morten.
Kampung ni masih mengekalkan senibina rumah tradisional melayu walaupun banyak banggunan tinggi-tinggi terpacak dekat kiri dan kanan. 
Kampung Morten ni dah lama wujud di Melaka. Sejak tahun 1920 lagi. Nama kampung ni bersempena nama Pesuruhjaya Tanah British masa tu bernama Frederick Joseph Morten.
Eh..kenapa pulak ambik nama orang inggeris ni?

Ceritanya bermula bila pihak British plan nak bangunkan kawasan kampung Jawa. Diorang nak buat tempat niaga baru dekat situ. Jadi penduduk kampung Jawa diarahkan berpindah ke tempat lain.
Tempat yang paling sesuai dan hampir untuk diorang pindah adalah dekat satu kawasan paya nipah yang tak berpenghuni betul-betul tepi sungai Melaka. 

Cuma kawasan tu dah ada pemilik. Jadi F.J Morten tolong dapatkan pinjaman berjumlah 10,000 dollar untuk beli tanah tu supaya dijadikan penempatan baru buat orang-orang dari kampung Jawa. Masa tu 10,000 dollar besau mat. Tak mudah nak dapat.

Sebagai tanda penghargaan, penduduk kampung sepakat dan setuju menamakan kampung baru ni sebagai Kampung Morten. Ada 100 lot tanah semuanya dekat sini dan semua 100% hak milik orang Melayu.
Tapi bukanlah F.J Morten sorang je punya usaha. Dia turut dibantu oleh sorang lagi tokoh penting iaitu Allahyarham Dato Othman Mohd Noh, ketua penduduk bagi kampung Jawa.

Dato Othman lah yang jadi penjamin tunggal bagi pinjaman 10,000 dollar tu. Fuhh..berani betul.

Walaupun dah lebih 100 tahun kisah ni berlalu, tapi kampung Morten masih gah berdiri dengan megah sampai la ke hari ni.

Pada tahun 1988, kawasan kampung Morten ni dah pun diwartakan dibawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya. 

Bermaksud kampung Morten ni terpelihara sebagai kawasan perkampungan melayu dan pusat tarikan pelancong di Melaka.

Jadi pemaju ke ape ke tak boleh sesuka hati untuk ubah kawasan perkampungan Melayu dekat sini.

Melainkan pemilik rumah sendiri yang nak ubah suai rumah diorang untuk tukar jadi moden sikit.
Kalau korang terlajak ke Kg Morten, jangan lupa singgah ke Villa Sentosa. Dekat sini tempat yang tepat untuk korang mengetahui sejarah keseluruhan kampung Morten.
Villa Sentosa dibina oleh Allahyarham Haji Hashim Bin Abdul Ghani pada tahun 1923. Masuk je sini terasa macam masa berputar ke zaman sebelum merdeka. Korang akan nampak macam-macam koleksi barang-barang antik dekat sini.
Hari ni, Villa Sentosa dijaga oleh anak kepada Haji Hashim yang bernama Haji Ibrahim (anak ke-12). Walaupun Haji Ibrahim dah berumur 86 tahun tapi masih sihat dan cergas melayan setiap pengunjung yang datang.
Haji Ibrahim ini lah yang cerita sejarah kewujudan Kampung Morten ni dekat aku. Orangnya sangat peramah dan ceria. Tak lokek dengan senyuman.
Dia jugak cukup fasih bertutur bahasa inggeris dengan tourist dari luar negara. Aku respek betul, minda dia masih tajam untuk ingat segala tarikh dan fakta.
Villa Sentosa dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 5.30 petang. Masuk adalah percuma. Tapi korang boleh bagi sumbangan ikhlas mengikut kemampuan korang (ada tabung disediakan).
Haji Ibrahim buka tempat ini tanpa menerima sebarang bantuan kewangan dari mana-mana agensi kerajaan. Memang niat dia nak perkenalkan sejarah kampung Morten ni pada orang ramai.
Kesimpulannya kampung Morten ni bukan sekadar "port" untuk kita ambik gambar cantik-cantik je dan post dekat insta, tapi kampung Morten ni adalah satu khazanah sejarah penting untuk tatapan generasi akan datang.

******************************
Kalau korang ada plan nak jalan-jalan Melaka boleh dapatkan itinerary dekat sini ok 👉 (Itinerary Melaka). Itinerary ni penting untuk korang dapat jalan-jalan banyak tempat menarik dekat Melaka.
#jurnalisjalanan #melaka #kgmorten #wanmenulis

Ulasan

Homestay Blue Wave Melaka (Kota Laksamana)